[Al Asr... A Moment]

Teruskan perjuangan

Tuesday, June 30, 2009 at 9:40 PM

Menjadi lumrah perjuangan, akan ada orang yang gugur dalam perjalanan. Mungkin kerana kurang sabar dengan tekanan, kurang tahan dengan kepayahah dan hilang semangat setelah jauhnya laluan. Perjuangan akan menapis manusia dan hanya yang kuat sahaja akan sampai ke penghujung jalan.

Begitulah yang berlaku kepada tentera Talut. Dalam perjuangan mereka menentang tentera Jalut, mereka diuji dengan sebatang sungai. Majoriti gagal dalam ujian tersebut.

Beginilah kisahnya:

Maka tatkala Thalut keluar membawa tenteranya, ia berkata: “Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan suatu sungai. Maka siapa di antara kamu meminum airnya; bukanlah ia pengikutku. Dan barangsiapa tiada meminumnya, kecuali menceduk seceduk tangan, maka dia adalah pengikutku.” Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka. Maka tatkala Thalut dan orang-orang yang beriman bersama dia telah menyeberangi sungai itu, orang-orang yang telah minum berkata: “Tak ada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tenteranya.” Orang-orang yang meyakini bahwa mereka akan menemui Allah, berkata: “Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar” (Al-Baqarah:249)

Sheikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi ketika mentafsirkan ayat ini menyebut: Lihatlah, bagaimana ujian mampu membersihkan saf dalam jihad fi sabilillah? Sehinggakan bendera jihad ini tak akan diangkat kecuali oleh orang-orang benar-benar beriman dengannya dan tahu haknya. Kata al-Sya’rawi lagi: orang yang terlepas dari ujian sungai dan mampu meneruskan perjuangan juga terpecah kepada dua golongan apabila melihat tentera Jalut yang begitu ramai. Satu golongan ketakutan dan berkata: “Tak ada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tenteranya.” Satu golongan lagi tidak merasa gentar dan berkata: “Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar.”

Golongan terakhir sangat istimewa, sedikitpun mereka tidak gentar dengan jumlah musuh dan kelengkapan mereka. Mereka yakin dengan janji Allah. Apapun akibatnya perjuangan di dahulukan.

Dalam proses tarbiah, mengisi mutarabbi dgn fikrah Islamiyyah dan memberi ia kefahaman akan peri pentingnya perjuangan tidak susah. Begitu banyak modul dan silibus yang boleh diguna dan dihabiskan….Yang sukarnya ialah membentuk mereka meyakini perjuangan ini dan sanggup mati kerananya. Meyakini bahawa jalan dakwah inilah satu-satunya jalan ke syurga. Jalan inilah yang dipilih oleh para Nabi dan Rasul. Rasulullah SAW dan para sahabatnya menghabiskan usia mereka di atas jalan ini.

Ramai yang menjadikan program tarbiah dan dakwah sebagai sampingan. Atau keutamaan di alam persekolahan dan universiti. Bila sudah bekerjaya dan berumahtangga, keyakinan itu hilang dan mereka menejadikan agenda lain sebagai landasan hidup. Ironinya, ada yang memberi pelbagai alasan, tabrir dan tafsiran baru untuk meninggalkan perjuangan. Bahkan sedikitpun tidak rasa berdosa meninggalkan amanah yang diserahkan oleh murabbinya ketika berhalaqah dan berusrah.

Namun itulah perjalanan dakwah, akhirnya ia menghimpunkan hanya mereka yang berkualiti dan memiliki keyakinan tinggi. Jumlah mereka tidak ramai. Sejarah telah membuktikan, di tangan mereka kebenaran ditegakkan. Ini kerana kemenangan Islam tidak bersandarkan kuantiti tapi kualiti.

Maka… teruskanlah perjuangan ini….

0 comments

Post a Comment